Thursday, July 3, 2014

Pokok Sukun merupakan pokok makanan yang paling banyak hasilnya, dengan sebatang pokok mampu menghasilkan melebihi 200 buah semusim. Di Pasifik Selatan, pokok Sukun mampu menghasilkan antara 50 hingga 150 buah setahun. DiIndia selatan, pengeluaran buah adalah sekitar 150 hingga 200 biji setahun. Penghasilan bergantung antara kawasan kering dan lembab.
Di Caribbean, anggaran konservatif adalah 25 biji buah sepokok. Kajian diBarbados menunjukkan potensi agak baik bagi 6.7 hingga 13.4 tan setiap ekar (16-32 tan/ha). Buah Sukun sebesar sebiji bola sepak memiliki permukaan bergerutu, dan setiap buah terbagi kepada beberapa "achenes", yang dikelilingi perianth berisi dan tumbuh pada tangkai berisi. Sesetengah variati yang ditanam memiliki buah tanpa biji. Pokok Sukun berkait rapat dengan pokok Nangka.
Buah Sukun berbentuk bulat atau sedikit bujur mempunyai ukuran garis pusat di antara 10 hingga 30 cm. Pada kebiasaanya berat buah ialah antara 1-3 kg. Buah sukun selalunya dipetik sebelum mencapai peringkat ranum atau masak. Buah sukun jika dipetik pada peringkat terlalu matang akan menjadi cepat lembut. Sebaliknya pula, jika buah dipetik pada peringkat terlalu muda, ia akan mengeluarkan getah yang berlebihan apabila kulitnya dikupas dan mempunyai rasa kelat yang tidak diingini.
Buah sukun yang kaya dengan kandungan kanji boleh dijadikan bahan untuk menghasilkan pelbagai jenis hidangan. Antaranya ialah kepingan sukun goreng yang disalut dengan tepung, kerepek, bubur atau sukun rebus. Sukun juga boleh dijadikan hidangan sayur. Kepingan sukun boleh direbus dan dimakan dengan sambal kacang bersama sayuran lain. Sukun juga boleh dimasak lemak. Disamping itu pelbagai jenis kuih muih dan puding boleh disediakan dari tepung atau kanji daripada sukun.

No comments:

Post a Comment